Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)

Call Directions Website Contact the business

Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) Laman Facebook Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
(JAKESS)
'Syariah Asas Keadilan'

KUALA KANGSAR, 13 OKTOBER 2026 — Konvensyen Usuluddin dan Kekeluargaan Islam (KONWANIS) Perak telah menganjurkan sesi uc...
13/10/2026

KUALA KANGSAR, 13 OKTOBER 2026 — Konvensyen Usuluddin dan Kekeluargaan Islam (KONWANIS) Perak telah menganjurkan sesi ucaptama khas bertajuk “Isu-Isu Kekeluargaan Islam: Solusi Perundangan Islam” bertempat di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Sesi ucaptama berprestij ini telah disampaikan oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Selangor.

Dalam pencerahan beliau, YAA Ketua Hakim Syarie Selangor memberi penekanan terhadap pemerkasaan perundangan kekeluargaan Islam, keberkesanan pelaksanaan perintah mahkamah serta perlindungan hak wanita dan kanak-kanak.

Antara fokus utama yang disampaikan merangkumi:

Integriti dan Keberkesanan Perundangan: Kerangka perundangan Syariah memerlukan keseimbangan antara hukum syarak, undang-undang substantif, tatacara mal dan keterangan bagi memastikan keadilan dapat dinikmati secara nyata oleh pihak yang berhak.

* Perkahwinan Luar Negara: Beliau mengingatkan masyarakat agar mematuhi prosedur pengesahan dan pendaftaran perkahwinan luar negara. Kegagalan pendaftaran boleh memberi kesan serius terhadap status perkahwinan, hak nafkah serta kesahtarafan dan kebajikan anak-anak.

* Pembubaran Perkahwinan & Darar Syarie: Tuntutan pembubaran perkahwinan (seperti fasakh) hendaklah dimohon berdasarkan alasan statutori dan bukti kemudaratan yang sah di sisi syarak tanpa menafikan keadilan prosedural bagi kedua-dua belah pihak.

* Hak Nafkah & Penguatkuasaan Perintah: Nafkah isteri dan anak merupakan hak asas yang mesti dilaksanakan. Penentuan kadar perlu mengambil kira keperluan sebenar dan kemampuan manakala mekanisme penguatkuasaan perintah mahkamah perlu terus diperkasakan.

Kebajikan Anak dalam Hadhanah: Hak penjagaan anak (hadhanah) bukanlah satu pertandingan antara ibu bapa sebaliknya proses undang-undang yang meletakkan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan dalam menentukan keputusan.

* Keadilan Harta Sepencarian: Penilaian harta sepencarian perlu mengambil kira sumbangan langsung (kewangan) dan sumbangan tidak langsung (pengurusan rumah tangga/keluarga) berdasarkan bukti yang sah.

Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan dan perundangan Syariah, YAA Puan Nenney Shuhaidah turut mengemukakan beberapa langkah keutamaan:

1. Memperkukuh pendidikan undang-undang keluarga sebelum dan selepas perkahwinan.
2. Memperkemas pengurusan kes kekeluargaan bagi mengurangkan penangguhan prosiding.
3. Meningkatkan mutu penyelidikan kehakiman serta pemantapan penyediaan alasan penghakiman.
4. Memperkemas mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah mahkamah.
5. Meningkatkan kerjasama antara agensi (Mahkamah Syariah, pihak berkuasa agama, agensi kebajikan dan bantuan guaman).
6. Memperluas akses keadilan bagi masyarakat awam dan golongan berpendapatan rendah.

Program ini diharapkan dapat memberi pendedahan dan kefahaman yang jelas kepada masyarakat demi menegakkan keadilan serta kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam.

JAKESS PERKASA KEFAHAMAN MASYARAKAT MENGENAI NAFKAH DAN HADHANAH MELALUI SEMINAR SIRI KE-8 ZON GOMBAKKUALA LUMPUR, 13 Ok...
13/10/2026

JAKESS PERKASA KEFAHAMAN MASYARAKAT MENGENAI NAFKAH DAN HADHANAH MELALUI SEMINAR SIRI KE-8 ZON GOMBAK

KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menganjurkan Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah Siri Ke-8 Zon Gombak bertemakan “Nafkah dan Hadhanah: Hak Anak, Amanah Ibu Bapa” bertempat di Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur, pada hari ini.

Seminar yang menghimpunkan seramai 350 orang peserta terdiri daripada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan masyarakat setempat di daerah Gombak ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai hak anak, tanggungjawab ibu bapa serta peruntukan undang-undang syariah berkaitan nafkah dan hadhanah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor.

Pengisian utama seminar diteruskan menerusi forum yang dikendalikan oleh Tuan Mohd Taufik Naim bin Kamarudin selaku moderator, bersama tiga orang ahli panel, iaitu Tuan Muhammad Mujahid bin Ahmad, Ketua Unit Integriti JAKESS; Tuan Ghazali bin Ahmad, Pegawai Penyelidik Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; dan Puan Siti Masitah binti Md Kassim, Ketua Bahagian Sokongan Keluarga JAKESS.

Perbincangan memberi fokus kepada isu nafkah dan hadhanah, pelaksanaan tanggungjawab ibu bapa serta kepentingan melindungi hak dan kebajikan anak menurut undang-undang syariah. Sesi soal jawab turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan ahli panel dan mendapatkan penjelasan mengenai isu-isu kekeluargaan Islam.

Program turut diserikan dengan kuiz panel bersama peserta serta lawatan ke reruai pameran.

Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan JAKESS dalam memperluas penyampaian maklumat dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap undang-undang syariah, khususnya berkaitan hak dan tanggungjawab dalam institusi kekeluargaan Islam, demi memastikan kebajikan serta kepentingan anak sentiasa menjadi keutamaan.




PEMAKLUMAN PENYELENGGARAAN SISTEM E-SYARIAH (ESV3)Dimaklumkan bahawa Sistem E-Syariah (ESV3) akan mengalami penyelenggar...
13/10/2026

PEMAKLUMAN PENYELENGGARAAN SISTEM E-SYARIAH (ESV3)

Dimaklumkan bahawa Sistem E-Syariah (ESV3) akan mengalami penyelenggaraan domain bermula 13 Oktober 2026 sehingga tarikh tamat yang akan dimaklumkan kemudian.

Sepanjang tempoh ini, sistem ESV3 tidak dapat diakses melalui Internet dan rangkaian luar pejabat. Walau bagaimanapun, sistem masih boleh diakses oleh pejabat yang menggunakan talian MyGovNet.

Sehubungan itu, semua pengguna ESV3 dimohon mengambil maklum berhubung perkara ini. Segala kesulitan yang timbul amat dikesali.

Terima kasih atas perhatian dan kerjasama anda.


📢 JOM SERTAI SEMINAR KEFAHAMAN UNDANG-UNDANG SYARIAH SIRI KE-8! ⚖️ NAFKAH DAN HADHANAH: HAK ANAK, AMANAH IBU BAPA 👨‍👩‍👧‍...
02/10/2026

📢 JOM SERTAI SEMINAR KEFAHAMAN UNDANG-UNDANG SYARIAH SIRI KE-8! ⚖️ NAFKAH DAN HADHANAH: HAK ANAK, AMANAH IBU BAPA 👨‍👩‍👧‍👦

Bagaimana hak nafkah anak ditentukan?
Apakah kepentingan hadhanah dalam memastikan kebajikan anak terus terpelihara selepas berlakunya perpisahan?

Ayuh sertai Seminar Kefahaman Undang-Undang Syariah Siri Ke-8 bagi Zon Gombak Tahun 2026 untuk mendapatkan pencerahan dan kefahaman yang lebih jelas berkaitan isu nafkah dan hadhanah daripada barisan panel yang berpengalaman dalam bidang kehakiman syariah.

🎙️ Forum: “Nafkah dan Hadhanah: Hak Anak, Amanah Ibu Bapa”

📅 13 Oktober 2026 (Selasa)
⏰ 8.00 pagi – 1.00 tengah hari
📍 Pusat Komuniti Setiawangsa, Kuala Lumpur

✨ Terbuka kepada semua yang berminat!
Jangan lepaskan peluang untuk menambah ilmu, memahami hak dan tanggungjawab dalam keluarga serta mendapatkan kefahaman yang lebih baik mengenai undang-undang syariah.

📲 Sila imbas QR Code pada poster bagi pengesahan kehadiran atau klik pautan dibawah ⤵
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSesD3-rpRP0mMAhNfD2-vjwuWMI5IHz0gLWRZ2xKb4I9EyzwA/viewform?usp=sharing&ouid=100875568398022973070

Jom hadir, tambah ilmu dan fahami hak serta amanah dalam institusi kekeluargaan.




Pantai Remis, 16 September 2026 -  Bersempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, pihak Badan Kebajikan Kakitan...
17/09/2026

Pantai Remis, 16 September 2026 - Bersempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan, pihak Badan Kebajikan Kakitangan Mahkamah Syariah Selangor (BAKEMAS), JAKESS telah mengambil inisiaitif menganjurkan program konvoi bermotosikal Ride Hari Malaysia 2026 ke negeri Perak bertempat di Pantai Remis dan seterusnya ke Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk.

Seawal jam 8.00 pagi seramai 24 peserta yang terdiri di kalangan pegawai dan kakitangan lain termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Syariah iaitu YA Dr Mohd Zainal Abidin Bin Kusmin merangkap pengerusi AKRAB dan Yang Dipertua BAKEMAS Tuan Umamuddin Bin Yunus sendiri telah berkumpul di perkarangan pejabat di Shah Alam.

Antara objektif utama program ini adalah bertujuan mengeratkan hubungan dan semangat kekitaan sesama rakan sekerja dan pada masa yang sama menyemarakkan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan. Selain itu, melalui aktiviti ini ia juga salah satu wadah mendedahkan kepada ahli BAKEMAS kepada semangat berpasukan, displin dan keselamatan di jalan raya.

Sebelum konvoi bermotosikal bergerak, para peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan seterusnya bacaan doa. Para peserta juga telah menerima token minyak beserta bendera kecil Malaysia daripada YDP BAKEMAS sebelum memulakan perjalanan. Para peserta tiba ke lokasi pertama sekitar jam 1.00 petang di restoran King Kari Kepala Ikan Pantai Remis. Selesai makan tengahari, para peserta meneruskan perjalanan ke Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk yang turut dikenali sebagai masjid terapung. Para peserta telah solat berjemaah dan beriktikaf sebentar di masjid dan seterusnya usai solat dan iktikaf bergerak ke Dataran Bagan Datuk bagi sesi rehat dan rawat setelah 5 jam menunggang motosikal.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kesemua peserta selamat pergi dan pulang ke kediaman masing-masing sekitar jam 8.00 malam. Pihak BAKEMAS merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua peserta yang telah menjayakan program ride ini. Tidak lupa juga dokongan dan sokongan daripada barisan urusetia yang terlibat dan pihak pengurusan tertinggi jabatan yang memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar dan jayanya.

- Biro Sukan dan Rekreasi, BAKEMAS.

JAKESS SAMBUT HARI MALAYSIA DALAM PERHIMPUNAN JABATAN BILANGAN 4 TAHUN 2026SHAH ALAM, 11 September 2026 – Jabatan Kehaki...
11/09/2026

JAKESS SAMBUT HARI MALAYSIA DALAM PERHIMPUNAN JABATAN BILANGAN 4 TAHUN 2026

SHAH ALAM, 11 September 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah mengadakan Sambutan Hari Malaysia dan Perhimpunan Jabatan Bilangan 4 Tahun 2026 bertempat di Dewan Muktamar, Aras 2 secara hibrid.

Majlis dimulakan dengan amanat YAA Ketua Hakim Syarie Selangor yang menekankan kepentingan memperkukuh integriti, profesionalisme dan semangat kebersamaan dalam memberikan perkhidmatan kehakiman syariah yang cemerlang kepada masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video montaj Hari Pusat Sumber, penyampaian hadiah pertandingan Pusat Sumber serta penyampaian Anugerah Pekerja Contoh bagi tempoh April hingga Jun 2026 sebagai penghargaan kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia, pelbagai pengisian interaktif telah diadakan termasuk Kuiz Online Hari Malaysia yang mendapat sambutan meriah daripada para peserta. Seterusnya, ceramah khas bertajuk “Patriotisme: Menelusuri Akhlak Rasulullah S.A.W.” telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Rahimi bin P. Ramlee, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyiaran JAKIM.

Majlis diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia sebagai penutup sambutan yang penuh dengan semangat patriotisme.



JAKESS MENGADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE IPK SELANGORShah Alam, 9 September 2026 - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor diket...
10/09/2026

JAKESS MENGADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE IPK SELANGOR

Shah Alam, 9 September 2026 - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor diketuai YAA Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Selangor telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang disambut oleh Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Shazeli bin Dato’ Kahar.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor dalam aspek keselamatan dan penguatkuasaan.

Antara perkara yang dibincangkan ialah:

Penambahan keanggotaan Polis Bantuan Lelaki dan Wanita di JAKESS;
Pengukuhan kawalan keselamatan hakim, pegawai, saksi dan orang awam bagi prosiding kes berprofil tinggi;
Penerokaan kerjasama latihan serta perkongsian kepakaran dalam bidang keselamatan, pengurusan krisis dan pematuhan undang-undang.

Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi PDRM Selangor serta delegasi JAKESS.

Semoga jalinan kerjasama ini terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah yang lebih cekap, selamat dan berintegriti.



JKSNS LAKSANAKAN LAWATAN PENANDA ARAS KE UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JAKESSSHAH ALAM, 4 September 2026 — Jabatan Kehakiman ...
04/09/2026

JKSNS LAKSANAKAN LAWATAN PENANDA ARAS KE UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JAKESS

SHAH ALAM, 4 September 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) menerusi Unit Komunikasi Korporat telah menerima lawatan penanda aras daripada rombongan Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) hari ini.

Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi pandangan, idea, serta amalan terbaik (best practices) berhubung pengurusan komunikasi korporat, perhubungan awam, dan strategi penyebaran maklumat institusi kehakiman syariah kepada masyarakat.

Rombongan JKSNS diketuai oleh Tuan Nik Asrul Nizam bin Mustapha Ketua Pendaftar JKSNS bersama Tuan Muhammad Jimmy bin Muhammad Azlin Ketua Unit Komunikasi Korporat JKSNS. Turut menyertai sesi lawatan berkenaan ialah Tuan Sabarudin bin Bidin, Tuan Safaruddin bin Urusli, Encik Norsujairi bin Che Shaari, Puan Mariani binti Mohamad, Encik Mohd Fauzi bin Mohd Sabri, serta Puan Siti Zulaikha binti Bakhtiar.

Ketibaan delegasi JKSNS telah disambut mesra oleh pihak JAKESS yang diwakili oleh Encik Ahmad Hanis bin Ahmad Nafri Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKESS dan Puan Nur Diyana Afifah binti Mohd Nassir Pembantu Tadbir UKK JAKESS.

Sesi perbincangan interaktif tersebut merangkumi pelbagai aspek pengurusan media sosial, penyediaan bahan hebahan rasmi, pengurusan maklum balas awam, serta strategi memperkasakan imej positif institusi kehakiman syariah di peringkat negeri.

Diharapkan penandaarasan ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik dan hubungan silaturahim antara JAKESS dan JKSNS demi memantapkan perkhidmatan komunikasi korporat kehakiman syariah secara menyeluruh.



OUTREACH SULH BAWA KETERUJAAN ILMU SULH KEPADA PELAJAR UISKajang, 3 September 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ...
04/09/2026

OUTREACH SULH BAWA KETERUJAAN ILMU SULH KEPADA PELAJAR UIS

Kajang, 3 September 2026 — Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Universiti Islam Selangor (UIS) telah menganjurkan Program Outreach Sulh Negeri Selangor 2026 di Auditorium Dr. Zainuddin Jaafar, UIS.

Program ini menghimpunkan pegawai kehakiman syariah, warga akademik, pengamal undang-undang, serta pelajar bagi memperluaskan kefahaman mengenai Sulh sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian secara damai dalam Sistem Kehakiman Syariah Selangor.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pendaftar JAKESS dan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang UIS, seterusnya disempurnakan menerusi ucapan perasmian oleh Ketua Jabatan Pengurusan Sosial dan Kebajikan LZS, disusuli penyampaian cenderahati serta sesi bergambar.

Program diteruskan dengan Slot Ceramah "Pengenalan Sulh dalam Sistem Kehakiman Syariah" oleh Tuan Umamuddin bin Yunus (Pegawai Syariah JAKESS) yang memberikan pendedahan mengenai konsep Sulh tanpa perbicaraan panjang. Acara disusuli Slot Forum "Sulh Sebagai Mekanisme Penyelesaian Pertikaian yang Efektif" menampilkan Dr. Azizah binti Mohd Rapini (UIS) dan Dr. Zulzaidi bin Mahmod (JKSNS) bawah kendalian Tuan Muhamad Hafiz bin Moksin. Kemuncak program diisi dengan Simulasi Sulh oleh Pegawai-Pegawai Sulh JAKESS bagi memberi pendedahan secara langsung mengenai tatacara dan teknik komunikasi dalam mencapai persetujuan harmoni.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen JAKESS dalam memperkasa literasi masyarakat serta memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi demi kesejahteraan institusi keluarga dan ummah.



SALAM MAULIDUR RASUL 1448H “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik bagi kamu.” (...
24/08/2026

SALAM MAULIDUR RASUL 1448H

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik bagi kamu.” (Surah al-Ahzab: 21)

Semoga sambutan Maulidur Rasul ini menyemarakkan rasa cinta kepada Baginda SAW serta menginspirasikan kita untuk meneladani akhlak mulia, amanah dan keadilan dalam setiap urusan.

Ikhlas daripada YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor dan Seluruh Warga Kerja Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)



Address

Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Sha
Shah Alam
40000

Opening Hours

Monday 08:00 - 17:00
Tuesday 08:00 - 17:00
Wednesday 08:00 - 17:00
Thursday 08:00 - 17:00
Friday 08:00 - 17:00

Telephone

+60355191291

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Business

Send a message to Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS):

Shortcuts

Share