18/07/2018
“Tengoklah dua pusar di kepala budak itu, patutlah nakal dan tak tahu duduk diam.” Pasti ramai antara kita yang pernah mendengar ungkapan ini malah tidak mustahil ada yang mengalaminya sendiri atau mempunyai anak sebegini.
Bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran di sebalik kepercayaan terhadap rambut dua pusar yang dikaitkan dengan tingkah laku anak? Adakah kajian yang mengaitkan kedua-duanya dan mengesahkan perkara ini?
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, sering menimbulkan masalah, s**ar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label negatif.
Persoalannya benarkah semuanya begini?
Pusar rambut ini boleh dilihat sebaik seseorang bayi itu dilahirkan. Jika anak mempunyai dua pusar, sejak kelahirannya dia sudah diberikan pelbagai label terutamanya oleh segelintir orang tua-tua yang mempercayai perkara itu.
Tidakkah terfikir kita berlaku tidak adil kepada bayi berkenaan? Belum pun kenal dan pada usia terlalu muda, sudah bermacam anggapan dilemparkan kepadanya. Sebelum sempat belajar, si kecil sudah dilabel dengan pelbagai perlakuan yang membawa konotasi ‘akan memberi kes**aran’. Adilkah begitu?
Pengasas dan Jururunding Keibubapaan Parent Connect Noor Afidah Abu Bakar berkata, kepercayaan dan pendapat mengenai anak yang mempunyai dua pusar sudah menjadi pegangan dalam masyarakat sejak sekian lama.
Namun, katanya, jika persepsi negatif terhadap kanak-kanak yang mempunyai dua pusar sudah ditanam sejak awal, ibu bapa atau keluarga tidak akan nampak segala kebaikan anak kerana di mata kita hanya terlihat tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
“Mungkin segelintir orang tua mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu tetapi untuk membuat tanggapan umum terhadap semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
“Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institusi yang banyak menjalankan kajian mengenai genetik dan genomik manusia, lima peratus penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gen manusia.
“Sebagai seorang Muslim kita percaya setiap anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walau berapa banyak pusar pun yang dimiliki anak itu.
“Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa? Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar mengenai dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengannya akan mewujudkan konsep diri si anak,”
Anak sering tertanya-tanya mengenai dirinya, peranannya dan kebaikannya. Jika setiap hari anak mendengar dirinya diberikan label negatif, lambat laun, dia akan percaya dengan label berkenaan.
Anak akan percaya dirinya nakal, keras kepala, tidak mendengar kata dan s**a menimbulkan masalah. Ini semua akan memberi impak negatif kepada jati diri dan keyakinannya. Jadi berhati-hatilah dalam melabel anak.
Sebenarnya tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku. Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibu bapa memahami dan mendidik mereka. Selain itu, tingkah laku dan corak pertuturan ibu bapa sendiri akan mempengaruhi kelakuan anak.
Anak adalah cermin ibu bapa. Jika ada tingkah lakunya yang dianggap negatif, cubalah selidik dan perhalusi keperibadian dan kelakuan ibu bapa. Pasti ada yang ditiru secara diam-diam tanpa anda sedari.