07/06/2026
5 Jun 2026 l 19 Zulhijjah 1447H - Program Kayak Jejak Warisan Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia
Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) telah dijemput untuk mengendalikan slot kesedaran alam sekitar sempena Hari Alam Sekitar Sedunia melalui Program Kayak Jejak Warisan anjuran Pusat Pengurusan Holistik Pelajar (PPHP) di Sekolah Kebangsaan Jongok Batu, Dungun. Program ini telah menghimpunkan hampir 50 peserta daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Program dimulakan dengan aktiviti berkayak menyusuri Sungai Dungun sejauh kira-kira 25 kilometer. Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi malah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara ekosistem sungai dan sumber alam sekitar.
Pada sebelah petang, ESERI telah mengendalikan slot pembelajaran interaktif yang melibatkan tiga stesen (checkpoint) bertemakan alam sekitar. Peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dan bergerak secara bergilir untuk mengikuti Modul Rawatan Air, Modul Serangga dan Modul Pokok yang memberi pendedahan tentang kepentingan sumber air bersih, peranan serangga dalam ekosistem serta fungsi pokok dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar.
Program ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai pemeliharaan alam sekitar di samping memupuk semangat cintakan alam dalam kalangan generasi muda. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta serta penghargaan kepada pihak urus setia dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.