12/10/2026
Tahukah anda bahawa secara saintifiknya, bahagian hadapan otak manusia yang dikenali sebagai Korteks Prefrontal iaitu pusat kawalan logik, penilaian risiko dan pertimbangan moral hanya akan matang sepenuhnya pada usia 25 tahun? Bagi lelaki, proses ini seringkali lebih perlahan berbanding wanita.
Ini bermakna, sebelum usia 25 tahun, kita sebenarnya sedang memandu sebuah "kenderaan berkuasa tinggi" tanpa sistem brek yang sempurna. Kita lebih mudah dipengaruhi oleh emosi, tekanan rakan sebaya, dan budaya FOMO yang menjanjikan keseronokan sementara.
Namun, biologi bukanlah alasan untuk menjadi tidak bertanggungjawab. Apabila kita memilih untuk mencuba perkara yang membinasakan sebelum "sistem brek" otak kita matang, kita sebenarnya sedang melakukan perjudian paling besar terhadap masa depan sendiri. Jangan biarkan keputusan melulu yang dibuat oleh otak yang belum matang merosakkan impian yang sepatutnya dibina seumur hidup.
Sebab itu penting untuk cakna dan berpegang pada prinsip. Ilmu dan bimbingan adalah "brek tambahan" yang kita perlukan sebelum fungsi biologi anda matang sepenuhnya. Jangan sombong dengan akal yang masih hijau.
Jika otak kita sendiri belum cukup matang untuk menilai risiko, adakah kita cukup bijak untuk menanggung beban penyesalan yang bakal menghantui anda kita sepanjang hayat?
Masalah Dadah hubungi talian hotline AADK 1-800-22-2235 (AADK) atau 019-626 2233 atau layari icari.aadk.gov.my untuk khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan. Layari aadk.gov.my untuk mendapatkan informasi lebih lanjut.