PENGENALAN
Cetusan ilham membangunkan Pusat Tahfiz An-Nuraien(PTA) adalah lahir dari seorang insan yang bernama Al Fadhil Ustaz Faisar Bin Ellias selaku pengerusi Jemaah Pengurusan PTA pada tahun 2007. Namun, perancangan bagi menubuhkan PTA mengambil proses yang agak berliku dan pelbagai faktor diperhalusi sebelum cita-cita ini direalisasikan dengan izin Allah swt. Pihak Jemaah Pengurusan dibawah
pentadbiran Al Fadhil Ustaz Faisar Bin Ellias telah mengorak langkah demi langkah bagi menjayakan penubuhan PTA di Madrasah Ulu Paip Kg Kemunting, Karangan Kedah. Modal kerja merupakan salah satu ujian dari Allah swt didalam menjayakan hasrat perjalanan PTA ini. Di antara pertimbangan utama penubuhan ialah faktor pemilihan asas pengajian ukhrawi yang kukuh dan berterusan serta mengimbangi pengajian duniawi yang sekadar memenuhi keperluan yang bersifat sementara. Pusat Tahfiz An-Nuraien(PTA) adalah merupakan sebuah pusat pengajian yang merangkumi empat bidang iaitu Al-Qur’an Wal-Qiraat, Bahasa Arab, Bahasa Jawi dan Akademik. Hasrat penubuhan PTA ini ialah untuk melahirkan para-para ilmuan yang mahir isi kandungan Al-Qur’an, BERILMU, BERTAQWA dan BERMAKRIFAH serta melahirkan hamba-hamba Allah swt yang mampu berbakti dalam menegakkan risalah Allah swt kepada seluruh umat manusia. MATLAMAT
1.Menyediakan kemudahan dan pusat mengkaji Al-Qur’an dan mempelajari Ulum Al-Qur’an.
2.Mendekatkan Ulum Al-Qur’an dengan masyarakat khususnya dan pada seluruh umat amnya.
3.Melahirkan ilmuan yang senantiasa memelihara agama Allah swt dan beristiqamah dalam menegakan risalah Allah swt kepada keluarga dan masyarakat. PENTADBIRAN
Pada masa kini, pentadbiran Pusat Tahfiz An-Nuraien dibawah pengawasan oleh Al Fadhil Ustaz Faisar bin Ellias sendiri dan beberapa ahli Jemaah Pengurusan yang dilantik secara sukarela. Bagi melicinkan pentadbiran, ahli-ahli Jemaah Pengurusan telah dipertanggunjawab bagi mengelolakan PTA ini bersama-sama tenaga pengajar yang lain. Pihak pentadbir, bukan sahaja sebagai pengelola, namun merangka dan membuat perancangan strategik untuk pembangunan Pusat Tahfiz ini dengan izin Allah swt. Adalah menjadi harapan pihak pengurusan, generasi ilmu disini mampu berdaya saing dengan teknologi yang wujud pada hari ini. Walaupun pengajian ukhrawi merupakan komponen utama di PTA, namun para penuntut turut didedahkan dengan kemahiran berkomputer dan kemahiran-kemahiran yang lain. KEWANGAN
1.Sumber kewangan PTA utama melalui beberapa gerak kerja yang dilakukan oleh Jemaah Pengurusan sendiri di antaranya kutipan wang secara bulanan oleh para pelajar pengajian kitab-kitab jawi, sumbangan dari waris para pelajar Tahfiz.
2.Jemaah Pengurusan juga telah melancarkan beberapa program untuk mengumpul dan mengurus sumbangan daripada masyarakat setempat, ahli-ahli syarikat persendirian serta hartawan dan dermawan yang budiman. Semoga segala pengorbanan semua pihak mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah swt.
3.Jemaah Pengurusan juga telah membentangkan beberapa kertas kerja bagi menjana ekonomi PTA sendiri seperti pengeluaran produk-produk makanan dan minuman yang berlandaskan syarak, majlis-majlis ilmu yang mendekatkan masyarakat pada amalan-amalan wakaf,sedekah jariah dan sebagainya. KEPERLUAN
Bangunan baru untuk kelas pengajian dan asrama
•Dengan jumlah keluasan bilik untuk kelas pengajian dan asrama yang terhad pihak PTA menghadapi masalah untuk menerima permohonan pelajar baru yang melebihi kemampuan fizikal Pusat Pengajian.
•Untuk sesi pengajian 2013, pihak PTA telah menolak banyak permohonan pelajar baru. Kapasiti hanya untuk 25 orang pelajar sahaja dan 8 untuk para pelajar yang tinggal di asrama.
•Jemaah Pengurusan PTA berkeyakinan, dengan izin Allah swt Pusat Pengajian ini akan mempunyai bilik untuk kelas pengajian dan asrama yang mencukupi dan serba lengkap seperti yang diwajibkan oleh pihak kerajaan maka ia akan mempercepatkan lagi penyelesaian terhadap masalah kewangan yang telah berlarutan sejak sekian lama. Meningkatkan Kadar Gaji Kakitangan
•Menyedari dan menginsafi dengan perubahan hidup yang semakin memesat, Jemaah Pengurusan bertekad untuk berjuang bagi memenuhi keperluan kakitangannya yang terus istiqamah membantu mendidik generasi muda Islam.
•Walaupun menyedari bahawa ianya merupakan suatu impian yang amat besar dan sukar, namun sekurang-kurangnya akan bertambah baik kehidupan harian semua kakitangan PTA dengan izin Allah swt. PENUTUP
Inilah serba sedikit gambaran ringkas mengenai sebuah institusi pengajian Islam yang didirikan berdasarkan kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap agama Allah swt serta masyarakat setempat khususnya. Berbekalkan ilmu yg sedikit, rasa taqwa dan takut kepada Allah swt serta bermakrifah, Jemaah Pengurusan bertekad terus mengorak langkah kehadapan dan beristiqamah dengan daya keinsafan dan keikhlasan untuk mengapai keredhaan Allah swt. Semoga rahmat Allah swt akan terus memayungi setiap insan yang turut mempunyai hati yang bersih dari sifat-sifat terkeji serta sedar akan tanggungjawab terhadap menegakkan agama Allah swt dan sentiasa mempasakkan keikhlasan agar bertunjang di dalam sanubarinya. Semoga Allah swt REDHA diatas segala-galanya.