14/10/2026
F&B - MUDAH BERMULA, BELUM TENTU MUDAH BERTAHAN.
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai yang datang berjumpa dan berbincang tentang hasrat untuk membuka restoran, kafe dan pelbagai perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Ada yang bercita². Ada yang baru bermula. Ada yang sudah berjaya berniaga secara online dan mahu beralih kepada premis fizikal.
Ada juga yang mempunyai modal dan melihat F&B sebagai peluang pelaburan yang menarik.
Aku tidak pernah menganggap hasrat mereka itu sesuatu yang salah.
Cuma sebelum memulakan perniagaan..ada beberapa realiti industri yang wajar difahami.
KELAHIRAN PERNIAGAAN F&B.
Menurut laporan Business Demography Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar kelahiran perusahaan F&B pada tahun 2024 ialah 13.8%, berbanding 7.8% bagi keseluruhan sektor perkhidmatan.
Angka ini menunjukkan F&B merupakan antara subsektor yang aktif menerima kemasukan pemain baru.
Pada pemerhatian aku...
Keadaan ini didorong oleh halangan kemasukan yang relatif rendah berbanding sesetengah jenis perniagaan lain.
Sekurang-kurangnya ada lima faktor yang menjadikan F&B begitu pop**ar dalam kalangan usahawan kecil.
1. Permintaan yang sentiasa wujud.
Manusia perlu makan setiap hari. Ini menjadikan F&B kelihatan seperti perniagaan yang sentiasa mempunyai pasaran.
Namun, keperluan manusia untuk makan tidak bermaksud mereka semestinya akan membeli daripada kita.
2. Mudah untuk bermula secara kecil²an.
Seseorang boleh memulakan perniagaan dengan memasak di rumah dan menerima tempahan melalui WhatsApp.
Tidak semestinya memerlukan restoran, pekerja yang ramai atau modal ratusan ribu ringgit.
3. Kemahiran asas yang mudah dipelajari.
Ramai orang boleh memasak. Panduan, menu, teknik dan resipi boleh diperoleh melalui YouTube dan pelbagai platform digital.
Tetapi kebolehan memasak makanan yang sedap tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai kemampuan mengurus perniagaan makanan yang menguntungkan.
4. Persepsi p**angan tunai yang cepat.
Jual hari ini, dapat duit hari ini.
Aliran tunai masuk yang berlaku setiap hari sering memberikan gambaran bahawa perniagaan pasti menjana keuntungan.
Sedangkan wang jualan, aliran tunai dan keuntungan ialah tiga perkara yang berbeza.
5. Kemudahan pemasaran digital.
Media sosial membolehkan seseorang mendapatkan pelanggan tanpa perlu memiliki premis komersial.
Facebook, TikTok, Instagram dan WhatsApp telah membuka peluang pemasaran yang jauh lebih luas dengan kos permulaan yang relatif rendah.
Namun, semakin mudah sesuatu perniagaan dimulakan, semakin ramai pemain berpeluang memasuki pasaran.
Dan di sinilah bermulanya persoalan yang lebih besar.
BERAPA RAMAI YANG MASUK DAN BERAPA RAMAI YANG MAMPU BERTAHAN?
Pada aku, untuk memahami keadaan sebenar industri F&B, kita tidak boleh hanya melihat kadar kelahiran perniagaan.
Kita juga perlu melihat kadar kematian, kadar kelangsungan, pertukaran pemilikan dan kemenjadiannya.
Kita tidak mempunyai data lengkap untuk mengukur.. khususnya dalam kalangan pengusaha kecil, informal dan home-based kerana premisnya kita tidak nampak.
Tetapi melalui pemerhatian dan penilaian dalam sesuatu kawasan, kita boleh membina hipotesis yang munasabah sebelum membuat keputusan untuk menceburi industri ini.
Sebagai contoh..
Bayangkan sebuah kawasan mempunyai 100 restoran yang sedang beroperasi pada awal tahun.
Sepanjang tahun tersebut..
20 restoran bertukar pemilik atau jenama.
30 restoran baru dibuka.
20 restoran menutup operasi sepenuhnya.
Dengan andaian ketiga² kump**an ini tidak bertindih, pada akhir tahun kawasan tersebut mempunyai 110 restoran yang masih beroperasi.
Daripada 100 meningkat kepada 110 restoran. Pertumbuhan bersih sebanyak 10%.
Sekali pandang, industri F&B di kawasan tersebut seolah² kelihatan berkembang.
Tetapi apabila diteliti dengan lebih mendalam kita melihat sesuatu yang berbeza.
Ada 20 restoran yang menutup operasi sepenuhnya. Ada 20 lagi yang mengalami pertukaran pemilik atau jenama. Pertukaran ini tidak semestinya disebabkan kegagalan, tetapi tetap merupakan petunjuk yang wajar dikaji.
Dan ada 30 pemain baru yang memasuki pasaran.
Maknanya, peningkatan bilangan restoran tidak semestinya menggambarkan peningkatan bilangan pengusaha yang berjaya.
Pertumbuhan industri dan kejayaan individu dalam industri adalah dua perkara yang berbeza.
PASARAN BERKEMBANG, TETAPI JUALAN SEMAKIN PERLAHAN?
Sekarang kita lihat p**a dari sudut saiz pasaran.
Katakan jumlah perbelanjaan pengguna untuk F&B dalam kawasan tersebut ialah RM2 juta sebulan.
Dengan 100 restoran, purata jualan secara matematik ialah RM20,000 bagi setiap restoran.
Kemudian pasaran berkembang sebanyak 5%, menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM2.1 juta sebulan.
Tetapi bilangan restoran p**a meningkat kepada 110. Menjadi RM2.1 juta ÷ 110 = RM19,091.
Walaupun pasaran berkembang sebanyak 5%, purata potensi jualan setiap restoran menurun sekitar 4.5%.
Itu pun dengan andaian semua restoran mendapat bahagian pasaran yang sama😅
Tapi realitinya tidak begitu.
Ada restoran yang menguasai bahagian pasaran yang besar. Ada yang sederhana. Ada juga yang bergelut untuk mencapai titik p**angan modal.
Belum lagi kita mengambil kira persaingan daripada peniaga home-based, penjual melalui WhatsApp, katering kecil, penghantaran makanan dan pelbagai perniagaan yang tidak mempunyai premis komersial.
Persaingan bukan lagi sekadar restoran melawan restoran. Kita sedang bersaing untuk mendapatkan bahagian daripada perbelanjaan pengguna yang sama.
BERTAHAN TIDAK SEMESTINYA BERJAYA.
Satu lagi perkara yang sering terlepas pandang ialah perbezaan antara kelangsungan perniagaan dengan kejayaan perniagaan.
Ada restoran yang sudah beroperasi selama lima tahun. Tetapi sepanjang tempoh tersebut, pemiliknya masih perlu menambah modal untuk membayar gaji, sewa dan pelbagai kos operasi.
Ye..restorannya masih hidup. Tetapi adakah perniagaannya benar² berjaya?
Pada aku, sekurang-kurangnya ada tiga tahap yang perlu dibezakan.
Survival - Kelangsungan.
Perniagaan masih beroperasi.
Sustainability - Kemampanan.
Perniagaan mampu menanggung kos operasi, mengekalkan aliran tunai yang sihat dan menjana keuntungan secara konsisten.
Success - Kejayaan.
Perniagaan mampu memberikan p**angan yang munasabah terhadap modal, masa dan risiko yang ditanggung oleh pemiliknya.
Sebab itu, jangan terlalu cepat mengukur kejayaan sesebuah restoran hanya berdasarkan jumlah pelanggan, panjangnya barisan atau besarnya jualan.
Jualan yang tinggi tidak semestinya menghasilkan keuntungan yang tinggi.
Dan keuntungan di atas kertas tidak semestinya bermaksud wang tunai mencukupi untuk meneruskan operasi.
Aku tidak mengatakan bahawa F&B merupakan perniagaan yang tidak bagus. Aku sendiri sudah bertahun² berada dalam industri ini. Terus belajar dan memerhati.
Cuma pengalaman mengajar aku bahawa membuka restoran dan membangunkan sebuah perniagaan restoran yang mampan merupakan dua cabaran yang sangat berbeza.
Sebelum memikirkan konsep, dekorasi, menu, peralatan dan publisiti...fahami dahulu pasaran yang mahu dimasuki.
Berapa besar permintaan sebenar?
Siapa pengguna sasaran?
Berapa ramai pesaing yang berkongsi pasaran ?
Berapa besar pengguna yang mampu kita tarik?
Berapa jualan minimum untuk cover OPEX?
Berapa margin keuntungan yang realistik?
Dan yang paling penting...
Berapa lama kita mampu bertahan sekiranya jualan tidak mencapai sasaran dan keuntungan tidak dapat cover kos operasi?
Jangan hanya menyediakan modal untuk membuka restoran. Sediakan juga modal, ilmu, kemampuan pengurusan dan strategi untuk memastikan restoran itu mampu terus beroperasi.
Kerana dalam industri F&B, kejayaan bukan sekadar berjaya membuka sebuah restoran. Kejayaan ialah apabila restoran yang dibuka mampu bertahan, memberikan p**angan yang munasabah dan terus relevan dalam pasaran yang sentiasa berubah.
Mudah untuk masuk tidak bermaksud mudah untuk bertahan. Mampu bertahan belum tentu bermaksud sudah berjaya.
Itulah antara perkara yang perlu difahami sebelum kita mempertaruhkan wang, masa dan tenaga dalam apa pun perniagaan termasuklah F&B.
Credit: Ejohng Corner