25/11/2019
STRUKTUR PROGRAM PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGARA (PPBN) DI PERKEMAS
Jawatankuasa Pemandu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) telah bersetuju untuk melantik Saad Ichalelene sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bermula 1 Disember 2019. Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Metadalogi Kejurulatihan bermula pada tahun 2016 hingga 2018, sebelum menjadi Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (Pembangunan Negeri) pada tahun 2019.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Jurulatih, Akademi Bola Sepak Remaja Paris Saint Germain (PSG) pada tahun 2012 sehingga 2016 selepas menamatkan karier profesional sebagai pemain bola sepak profesional bersama beberapa kelab terbaik eropah seperti Paris Saint German (PSG), Nimes Olympique dan USM Alger. Beliau pernah mewakili Skuad Kebangsaan Algeria pada tahun 2005 dan 2006.
Saad Ichalelene dipilih memandangkan beliau merupakan tulang belakang yang merancangkan program latihan PPBN di pelbagai peringkat sebelum ini dan telah biasa dengan struktur PPBN. Hubungan baik beliau bersama semua pemegang taruh termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia juga menjadi aset berharga kepada PPBN. Saad akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas program PPBN termasuk AMD apabila dilantik nanti. Oleh itu sebarang perancangan yang dilaksanakan akan dapat diselaraskan dari peringkat Akademi Tunas hinggalah ke peringkat AMD.
Selain daripada pelantikan Saad, struktur PPBN di perkemaskan dengan melantik beberapa jawatan utama bagi membantu Saad menjalankan tugasnya seperti Pengarah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ketua Pencarian Bakat Dan Methodologi Kejurulatihan dan Ketua Pembangunan Remaja bagi memastikan perjalanan program PPBN pada tahun 2020 dan seterusnya berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang telah di tetapkan. Oleh itu Jawatankuasa Pemandu hari ini juga telah bersetuju untuk melantik En. Dennis Bekking selaku Pengarah AMD, En. Abdifitaah Mohamed Hassan sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Methodologi Kejurulatihan dan En. Aminuddin Hussain selaku Ketua Pembanguan Remaja.
En. Dennis Bekking merupakan bekas Pengarah Akademi Twente FC, Belanda dan juga pemegang Sarjana Kepimpinan Sukan dari Universiti Salford Belanda. Manakala En Abifitaah merupakan jurulatih pencarian bakat bagi NFDP sejak tahun 2016 dibawah En. Saad Ichalalene. En. Aminuddin Husain merupakan bekas Pengarah Pembangunan Belia FAM pada tahun 2008-2009 sebelum beralih arah sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan 2009-2011. Sekarang beliau bertugas sebagai Penyelaras NFDP/FAM.
Program Pembangunan Bola Sepak di AMD akan terus di perkasa dengan penambahan bilangan jurulatih, jurulatih penjaga gol serta kakitangan teknikal bagi setiap kategori umur. Pada masa ini setiap pasukan mengikut peringkat umur mempunyai seorang ketua jurulatih dan dibantu oleh dua orang jurulatih. Bagi tahun 2020, semua pasukan peringkat umur akan dikendalikan oleh 2 orang ketua jurulatih dan dibantu oleh 2 orang penolong jurulatih dan seorang jurulatih penjaga gol. Apa yang jelas di sini ialah kita akan menambah kapasiti 100% di AMD bukan sahaja dari aspek kejurulatihan malahan dari aspek kakitangan sokongan meliputi pegawai dan kepakaran sains dan perubatan sukan. Pihak AMD akan melantik seorang ketua prestasi tinggi bagi menyelaraskan khidmat kepakaran sains sukan. Kita juga akan melihat untuk menempatkan pakar perubatan sukan di AMD.
Di peringkat NFDP yang meliputi program Akademi Tunas, Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri dan Sekolah Sukan Malaysia akan menyaksikan penambahbaikan bukan saja dari aspek logistic malahan juga dari sudut peningkat pertandingan di peringkat dalaman untuk mewujudkan pertandingan yang lebih kompetitif di kalangan bakat-bakat muda Negara. Lebih ramai bekas pemain bola sepak Negara akan di galakkan untuk terlibat dalam pelaksanaan program NFDP dan AMD.
Sementara itu, pihak Kementerian, MSN dan FAM sedang menyediakan perancangan yang lebih lengkap dalam aspek pembangunan pemain-pemain bola sepak wanita supaya Negara mempunyai bilangan yang lebih besar pemain- pemain wanita yang dapat dilatih secara sistematik oleh jurulatih-jurulatih yang seboleh mungkin adalah terdiri dari kaum wanita juga. Sememangnya ini merupakan cabaran yang besar tetapi sekiranya kerjasama yang erat dapat dijalankan ia tidak mustahil akan berjaya.